SELAMAT DATANG KE BLOG RASMI SK SERI SEKAWAN DESA.............WELCOME TO SK SERI SEKAWAN DESA OFFICIAL BLOG

Ahad, 16 Ogos 2009

PENGENALAN

Sekolah Kebangsaan Seri Sekawan Desa terletak 14 kilometer dari Bandar Batu Pahat. Pada tahun 1948, penduduk-penduduk Kampung Parit Besar, Parit Samak, Parit Bengkok dan Parit Haji Moin 2 telah bersetuju untuk membina sebuah sekolah khusus bagi anak-anak yang tinggal di kampung-kampung tersebut.

Setelah persetujuan dicapai,dalam satu mesyuarat di antara penduduk kampong dengan pihak Pejabat Pelajaran Batu Pahat, sebuah sekolah mula didirikan secara gotong royong. Wang sumbangan yang diperolehi hasil derma sebuah rumah lama di Kampung Parit Bengkok, Bagan. Kayu-kayu rumah tersebut digunakan dalam pembinaannya. Atap daun rumbia sebagai bumbungnya juga hadiah orang ramai. Sekolah asal tersebut terletak di atas tapak tanah Tuan Haji Noor bin Haji Abdul Rashid di Kampung Parit Samak, Bagan, Batu Pahat. Sekolah tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh kurang lebih tiga bulan.

Pada tahun 1970, atas inisiatif penduduk tempatan, kerajaan telah mendirikan sebuah bangunan baru yang terdiri daripada pejabat am/ guru besar, sebuah bilik guru, enam buah bilik darjah, kantin, tandas dan sebuah padang permainan. Pada asalnya, bangunan sekolah ini terdiri dari 2 bilik darjah. Tenaga pengajarnya terdiri dari 2 orang guru. Perasmian bangunan dan kelengkapan baru ini telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Othman b. Saat, Menteri Besar Johor pada 14 Julai 1977.

SEJARAH SEKOLAH

Pada awalnya, sekolah ini dinamakan Sekolah Melayu Seri Sekawan Desa. Ia termasuk dalam kumpulan Sekolah Rakyat. Nama sekolah ini adalah mengambil sempena dan komitmen penduduk kampong-kampung berhampiran. ‘Sekawan’ dalam bahasa Jawa bermaksud ‘empat’. Perkataan ‘Desa’ pula asalnya dari perkataan ‘Deso’ dari bahasa Jawa. Jadi ‘Sekawan Desa’ membawa maksud penduduk dari empat buah kampung di sini telah bermuafakat, baik dari segi moral, material, masa dan tenaga hingga berjaya membina sekolah tersebut. Atas saranan Nazir Sekolah-sekolah Melayu Batu Pahat iaitu YM Tuan Syed Esa b. Syed Alwi serta persetujuan penduduk-penduduk kampung berkenaan, sekolah ini dinamakan SEKOLAH KEBANGSAAN SERI SEKAWAN DESA.

PERKEMBANGAN AWAL

Pada 9 Jun 1948, sekolah ini bermula dengan dua bilik darjah sahaja iaitu Darjah 1A dan Darjah 1B. tiga tahun kemudian, ditambah lagi dua darjah untuk darjah 3 dan darjah 4. murid-murid yang berjaya masuk darjah 5 dihantar ke Sekolah Kebangsaan Bagan.

Permulaannya sekolah ini berukuran 24 x 50 kaki persegi. Sehingga awal tahun 1952 sekolah asal terpaksa menampung lima darjah yang disekat dengan skrin kadbod. Pada 26 Februari 1952, bangunan tambahan berukuran 24 x 30 kaki persegi dibina melalui bantuan kerajaan. Menjelang tahun 1975, bangunannya dipanjangkan lagi bagi menampung 188 murid iaitu sehingga Darjah 6.

Pada 1968, Jabatan Kerja Raya daerah Batu Pahat mengisytiharkan bangunan sekolah ini sudah uzur dan tidak selamat untuk digunakan. Semua murid dipindahkan ke Balai Raya Sekawan Desa. Tahun 1969, sekolah ini musnah terbakar. Pada tahun 1970, kerajaan meluluskan pembinaan sekolah baru di atas tanah baru yang diwakafkan oleh Tuan Haji Md. Zin b. Haji Noor. Sekolah ini siap sepenuhnya pada tahun 1973 dan perasmian dibuat oleh YAB Tan Sri Dato’ Othman b. Haji Saat DK, PMN, SPMJ, BSI, PIS, Menteri Besar Johor pada 14 Julai 1977 bersamaan 27 Rejab 1397.

Pada tahun 1984, sekolah ini mendapat sebuah bangunan kantin dan pada tahun 1993 mendapat peruntukan RM9990.00 untuk bengkel kemahiran hidup. Tahun 1999 menyaksikan pembinaan ‘musolla’ oleh PIBG sekolah ini dan siap sepenuhnya pada akhir tahun 2001. ia menelan belanja kurang lebih RM20,000.00 melalui derma ahli dan orang ramai.

LENCANA SEKOLAH



Lencana sekolah ini telah dicipta oleh Encik Daing Ali b. Adam, guru SK Seri Sekawan Desa pada tahun 1974. Lencana sekolah ini berbentuk perisai dengan beberapa simbol serta warna pada lencana melambangkan beberapa maksud bagi sekolah.

Obor
- Melambangkan cahaya kepada pengetahuan.

Buku, Jangka lukis dan pensil.
- Melambangkan asas dalam pendidikan iaitu membaca, menulis dan mengira.

Warna Hijau
- Melambangkan Agama Islam.

Warna Kuning
- Melambangkan kesucian dan hormat.

Warna Merah
- Melambangkan keberanian dan kesungguhan yang berterusan untuk mencapai kejayaan dan kegemilangan.

BENDERA SEKOLAH


Bendera sekolah ini bersaiz 1.5m x 0.9m. Bendera sekolah ini menggunakan lambang sekolah dan berlatar belakangkan warna kuning. Warna ini memberi maksud kesetiaan kepada raja dan Negara.